Monday, November 7, 2011

Pro dan Kontra PPSMI


Banyak pihak yang menentang PPMSI semasa perlaksaannya dahulu. Sehingga sekarang, pelbagai mesyuarat dilakukan untuk mencari penyelesaian dalam mempertahankan bahasa kebangsaan kita sebagai bahasa ilmu. Tidak dinafikan, penulis juga terasa sukar dalam memahami subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. 


Hasil usaha guru yang mengambil inisiatif untuk menerangkan semula dalam bahasa kebangsaan dan juga usaha sendiri mencari sumber rujukan yang lain, alhamdulillah penulis lulus cemerlang dalam PMR dan SPM. Tidak kiralah belajar dalam bahasa apa sekali pun, jika ada usaha yang gigih dan keberkatan, InsyaAllah, kejayaan akan menyusul.






Bagi pejuang bahasa kebangsaan, meraka memandang serius mengenai perkara ini. 
Apa yang akan jadi pada nasib bahasa kebangsaan jika PPSMI dilaksanakan? 
Bagaimana mahu memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu jika PPSMI dilaksanakan?
Sains dan matematik merangkumi pelbagai cabang ilmu dan jika PPSMI dilaksanakan, tiada lagi bahasa kebangsaan dalam bidang teknologi dan inovasi. Bahasa kebangsaan mungkin akan menjadi bahasa mundur yang hanya digunakan di jalanan dan di pasar-pasar sahaja. Sanggupkah kita melihat bahasa kebangsaan kita dipinggirkan dan mundur?


Tetapi, sesetengah pihak merasakan PPSMI wajar dilaksanakan. Hal ini kerana kebanyakan sumber rujukan sains dan matematik adalah dalam bahasa Inggeris. PPSMI adalah langkah awal untuk membiasakan para pelajar untuk menghadapi pembelajaran dipringkat yang lebih tinggi. Selain itu, penggunaan bahasa Inggeris dapat diperkuatkan dengan pelaksaan PPSMI ini. Sejajar dengan kadar peratusan lulus Bahasa Inggeris yang rendah. Berfikir untuk masa hadapan, bidang teknologi dan inovasi sangat rancak membangun di negara barat yang kebanyakan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Oleh itu, PPSMI wajar dilaksanakan untuk memudahkan pemindahan teknologi dari negara luar ke dalam negara. 


Bagi penulis, pemansuhan PPSMI disambut dengan baik. Tetapi, pelbagai usaha perlu rancak dilaksanakan untuk mempertabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu. Aktiviti menterjemah sumber rujukan yang pelbagai bahasa kepada bahasa kebangsaan perlu diperbanyakkan untuk rujukan generasi pembagun negara. Selari dengan itu, Kita perlu melahirkan lebih ramai pakar bahasa asing bagi memudahkan penterjemahan bahasa dalam memindahkan teknologi dari setiap pelusuk dunia. Kita perlu menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai negara contoh untuk memartabatkan bahasa kebangsaan. Usaha negara itu melakukan aktiviti penterjemahan bahan-bahan ilmiah dengan pantas dan berkesan mampu menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa ilmu. 


* Maaf jika terdapat kesalahan pengunaan tatabahasa dan berharap teguran yang baik dari pembaca.
** Penulis mengambil inisiatif menggunakan istilah "bahasa kebangsaan" kerana masih lagi keliru penggunaan istilah "bahasa Melayu" dan "Bahasa Malaysia".
*** (aku guna mood skema lah pulak... Hidup Bahasa!) 

No comments:

Post a Comment