Assalamualaikum & Salam Sejahtera
Dah lama sebenarnya aplikasi Whatsapp nie buat fungsi bluetick ini di mana pengirim dapat tahu penerima sudah membaca mesej yang dihantar. Isu bluetick ini sangat panas dan lebih hangat berbanding isu last seen.
Kalau dulu...
"Hey, kau online ni. Cepat la balas"
Tapi sekarang...
"Hoi! Dah baca apasal tak balas nie?!"
Mari kita baca dahulu situasi di bawah nie.
~*~*~*~
Kelihatan Nani sedang sibuk menyapu sampah di dalam ruang tamunya. Setelah berkali dileteri ibunya, dia akhirnya mengalah dan mencapai batang penyapu untuk menyapu. Tangan kanannya memegang telefon pintarnya, tangan kirinya menghayun penyapu.
Ting! Ting!
Telefon pintar Nani berbunyi tanda ada mesej masuk dari aplikasi Whatsappnya. Dia membuka aplikasi tersebut hanya menggunakan tangan kanannya manakala tangan kirinya masih memegang penyapu. Mesej daripada Faridah. Dia segera membuka aplikasi itu sambil tangan kirinya menyabu habuk dan sampah di lantai.
Salam Nani 9.31AM
Ko tgh buat ape? 9.31AM
Nani membaca mesej tersebut. Tetapi skrin telefon itu terlalu besar dan dia tidak mampu untuk membalas mesej itu dengan sebelah tangan. Habuk dan sampah yang terkumpul perlu segera di sapu ke kaki pintu yang jaraknya hanya 3 4 langkah kakinya lagi. Dia teruskan menyapu dengan sebelah tangan kirinya. Mesej Faridah, dia abaikan seketika. Aplikasi Whatsapp masih terbuka. Telefonnya berbunyi lagi tanda mesej baru dari Faridah sampai.
Eh, dah bluetick ni 9.32AM
Tak reti balas ke? 9.32AM
Nani membaca mesej tersebut dan segera menyiapkan aktivitinya menyapu itu. Kalau ada angin yang meniup habuk dan sampah ini, teruklah dia kena sapu semula. Akhirnya, dia selesai menyapu dan membalas mesej daripada Faridah tadi.
Sorry. Aku tengah kemas rumah tadi 9.33AM
~*~*~*~
Berdasarkan situasi di atas, apakah pandangan anda? Patutkah Faridah menyindir Nani atas kelewatan dia membalas mesej?
Pada pendapat aku, kalau ada sesuatu yang penting nak dibincangkan, Faridah perlu membuat panggilan dan bukannya dengan menghantar mesej. Takde kredit? Whatsapp kan dah boleh buat call sekarang nih... Asasnya, kita perlulah memahami situasi seseorang dan bersangka baik terhadapnya. Kita tidak tahu apakah situasi yang sedang dihadapi oleh si penerima mesej kita itu kerana tiada imej secara langsung yang keluar daripada aplikasi itu...
Renungkan lah dan fikir sejenak.
Salam Ramadhan dan selamat menunaikan ibadah puasa buat kawan-kawan muslimin dan muslimat.